Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini menempelak blok pembangkang yang diamĀ  apabila harga bahan bakar turun semalam.

Katanya, sejak kerajaan melaksanakan sistem apungan harga minyak, jumlah kenaikan bahan api itu hanya naik 82 sen berbanding penurunan 82 sen seliter.

“Semalam, kita umumkan lapan sen penurunan, haram satu perkataan pun (pembangkang) nak memuji kerajaan.

“Satu blok pembangkang tidak cakap apa-apa dalam memuji usaha kerajaan tapi kalau harga naik kita bersedialah dengan segala tohmahan yang dibuat,” katanya ketika menjawab sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim yang mahu tahu mengenai langkah strategik kerajaan yang akan digunapakai bagi mengurangkan impak kenaikan harga minyak.

Semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan penurunan harga RON95 dan Diesel sebanyak 8 sen seliter menjadikan harga terkini bahan itu pada paras RM2.30 seliter.

Manakala harga RON97 juga mengalami penurunan sebanyak 2 sen pada paras RM2.58 sen seliter.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim turut bertanya mengenai kesan kenaikan harga minyak ini berkaitan dengan indeks inflasi.

Justeru beliau mahu kerajaan mencari kaedah baharu dalam peratus kenaikan harga minyak ini memberi tekanan kepada inflasi.

Menjawab perkara itu, Abdul Rahman berkata, kerajaan akan bertindak sekiranya harga RON95 dan diesel mencecah RM2.50 seliter.

Mengakui bahawa kenaikan harga minyak memberi kesan kepada inflasi, kerajaan, katanya, akan dihambat dilema samada untuk menaikkan bantuan BRIM.

“Bila kita sampai ke harga RM2.50 seliter itu kerajaan akan bertindak untuk melindung kepentingan rakyat dan itu janji Perdana Menteri dan kerajaan akan membuat tindakan yang sesuai,” katanya. -MalaysiaGazette.