Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai diiringi Pengerusi PIKOM, Chin Chee Seong (kiri), Naib Presiden GAIN Program MDEC, Gopi Ganesalingam (kanan) dan Pengarah Urusan FUSIONEX Datuk Seri Ivan Teh (dua kanan) pada Majlis Perasmian PIKOM Leadership Summit di Connexion Conference dan Event Centre (CECC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 23 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yakin dengan sistem logistik terbaik dimiliki Malaysia akan menjadi pemangkin kepada kejayaan ekonomi digital negara pada masa depan.

Tiong Lai menyifatkan perubahan zaman menyaksikan aktiviti perdagangan juga turut berubah dimana ekonomi digital kini menjadi satu instrumen yang penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

“Kita hadapi satu perubahan zaman yang begitu ketara dimana e-dagang akan menjadi satu kenyataan.

“Saya sebut tadi, single day sales di China menerusi Ali Baba adalah US$25 bilion, begitu banyak sekali hasil dalam e-dagang begitu juga Malaysia… Malaysia juga boleh berjaya dalam e-dagangdalam digital ekonomi dan kita tahu ia akan jadi satu peneraju ekonomi pada masa depan,” kata beliau kepada wartawan selepas merasmikan PIKOM Leadership Summit di Bangsar hari ini.

Tahun ini sahaja, sebanyak 19 peratus daripada pertumbuhan ekonomi negara disumbang menerusi ekonomi digital dan dijangka akan mencapai lebih 20 peratus pada tahun depan.

Untuk mencapai sasaran lebih 20 peratus tahun depan, Tiong Lai yakin Malaysia mampu berjaya kerana memiliki sistem logistik terbaik.

“Kita yakin kerana kita punyai sistem logistik yang baik… kalau e-dagang kita nak berjaya kalau tidak ada sokongan daripada logistik kita tidak akan berjaya.

“Lapangan terbang kita baik, infstruktur, pelabuhan kita baik, kita ada landasan kereta api dan jalan raya yang baik, ini semua telah pun menyakinkan orang ramai dunia luar atau pun melihat Malaysia boleh menjadi ASEAN logistik hab,” ujarnya lagi.

Menurut beliau lagi, inisiatif pengasas Ali Baba, Jack Ma yang memilih Malaysia untuk membuka Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) juga berjaya menarik lebih ramai pelabur untuk datang ke Malaysia.

“Oleh itu, Jack Ma datang lancarkan DTFZ banyak pelabur asing dan logistik akan datang melabur di DTFZ,” katanya lagi.

Selain itu, Tiong Lai juga berkata Malaysia meletak sasaran untuk setanding dengan China dimana barang-barang boleh dihantar kepada pelanggan dalam masa tiga jam selepas ia sampai di pelabuhan.

“Kalau di China mereka boleh hantar barang-barang kepada pelanggan dalam masa tiga jam, Malaysia juga boleh buat tapi kita belum capai tahap ini kerana kita dalam proses pembangunan logistik negara kita

.”Jadi saya harap dengan komitmen semua pihak, maka kita akan berjaya dalam membangunkan logistik kita dalam menjadi industri logistik yang berkesan di rantau ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette