Akibat mencederakan ibu kandung dengan menumbuk mata sebelah kiri, seorang penganggur menerima balasan hari ini apabila dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
Akibat mencederakan ibu kandung dengan menumbuk mata sebelah kiri, seorang penganggur menerima balasan hari ini apabila dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
PETALING JAYA – Seorang tukang paip dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana membaling botol berisi minyak petrol ke sebuah garaj kereta hingga terbakar, minggu lalu.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhi hukuman itu terhadap Leong Kwang On, 30, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Leong didapati melakukan khianat dengan membaling sebuah botol berisi minyak petrol dengan niat untuk membinasakan rumah milik Cheah Chee Meng, 46, hingga menyebabkan bahagian garaj kereta rumah lelaki itu terbakar.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mokhzani menegur tertuduh bahawa perbuatannya itu jika ia tidak disedari boleh membawa musibah. Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 20 Nov lalu.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan USJ 6/6, Subang Jaya, di sini, pada 10.55 malam, 19 Nov mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V. V. Suloshani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh mengambil kira faktor jenayah khianat menggunakan api merupakan jenayah serius.

“Selain itu, tertuduh juga mempunyai rekod lampau berhubung kes dadah,” katanya.

Bagaimanapun, Leong yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia telah insaf dengan perbuatan tersebut dan tidak berniat untuk mencederakan sesiapa.

“Saya melakukan perbuatan tersebut atas dorongan kawan dan bertujuan untuk menakutkan mangsa sahaja,” kata lelaki itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa sedang berada di rumah bersama keluarganya sebelum terdengar bunyi kaca pecah di bahagian halaman rumah berserta api dan dia segera memadamkannya.

Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa mendapati seorang lelaki telah membaling sebuah botol berisi minyak petrol ke arah garaj rumahnya dan melarikan diri menggunakan kereta.

Pihak polis mengesan kereta tertuduh namun tertuduh cuba melarikan diri dan diburu oleh pihak polis sebelum dia berjaya ditangkap dan menemui sebuah botol arak berisi minyak petrol, sumbu kain merah di muncung botol dan sebotol minyak petrol di bawah tempat duduk penumpang kenderaannya.

— BERNAMA



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast