Robinho

ROM – Bekas bintang Brazil, Robinho dihukum penjara sembilan tahun selepas disabit kesalahan terlibat dalam jenayah rogol berkumpulan.

Bekas bintang Manchester City itu dituduh melakukan kesalahan tersebut ke atas seorang wanita Albania di sebuah kelab malam di Milan pada 22 Januari 2013.

Robinho beraksi untuk kelab AC Milan ketika terlibat dalam jenayah itu.

Pemain berusia 33 tahun itu yang kini beraksi untuk Atletico Mineiro dikatakan mahu mencabar keputusan mahkamah.

Di bawah Undang-undang Itali, seseorang tertuduh tidak akan dihukum sehingga proses rayuan dimuktamadkan yang mana akan memakan masa bertahun.

Satu kenyataan pasukan peguam Robinho dalam Instagram pemain itu menyebut: “Berhubung berita melibatkan penyerang Robinho dengan insiden rogol yang berlaku beberapa tahun lalu, kami ingin menjelaskan bahawa dia sudah diisytiharkan tidak bersalah dan mengekalkan pendirian dia tidak terlibat dalam jenayah itu.

“Segala proses undang-undang sedang dilaksanakan untuk mencabar keputusan mahkamah,” kata kenyataan itu.

Jika Robinho kalah dalam rayuan, dia akan menjalani hukuman penjara di Itali.

Robinho berhijrah ke Eropah pada tahun 2005 setelah menyertai Real Madrid dari Santos.

Robinho kemudian menyertai Man City dengan rekod pindahan £32.5 juta atau RM178 juta dari Real Madrid pada tahun 2008.

Selepas beraksi hanya 16 bulan di England dia kembali bersama kelab asalnya Santos setelah bergelut dalam kesebelasan utama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast