GEORGE TOWN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mahu mekanisme pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diperjelaskan kepada rakyat.
AMK Pulau Pinang berkata, penjelasan itu merangkumi syarat yang dikenakan, bentuk pemantauan, tahap sekatan serta mekanisme penguatkuasaan sekiranya berlaku pelanggaran syarat.
Menurutnya, ketelusan berhubung perkara itu penting bagi mengelakkan spekulasi, menjawab persoalan rakyat dan memastikan keputusan berkenaan dapat difahami dalam kerangka undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan membolehkan individu yang disabitkan bersalah dalam kes membabitkan amanah awam menjalani baki hukuman di kediaman sendiri sudah tentu menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai kesaksamaan serta konsistensi pelaksanaan undang-undang.
“Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan secara adil dan saksama,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah kenyataan itu, apa-apa bentuk kelonggaran terhadap individu berprofil tinggi perlu dilaksanakan dengan penuh ketelusan agar tidak wujud persepsi bahawa status, kedudukan atau pengaruh politik boleh menghasilkan layanan berbeza di sisi undang-undang.
Jelas kenyataan itu, pihaknya menghormati sepenuhnya kedudukan serta kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, penghormatan terhadap kuasa pengampunan tidak bermakna persoalan mengenai ketelusan, pelaksanaan dan kesan keputusan terhadap keyakinan rakyat tidak boleh dibangkitkan.
“Perjuangan menentang rasuah tidak boleh sekadar menjadi slogan atau retorik politik. Prinsipnya mesti konsisten, sesiapa sahaja yang menyalahgunakan amanah awam dan disabitkan bersalah oleh mahkamah mesti tertakluk kepada undang-undang tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang politik.
“Keyakinan rakyat terhadap institusi negara hanya dapat dipelihara apabila prinsip keadilan, ketelusan dan kesaksamaan terus menjadi asas dalam setiap tindakan.
“Undang-undang mesti berdiri lebih tinggi daripada individu, kedudukan dan kuasa,” katanya.
Semalam Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan pengampunan bersyarat itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman bagi kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan.
Najib telah melalui proses perundangan dalam kes SRC International yang berakhir dengan sabitan terhadap beliau berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International dan mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022. – MalaysiaGazette
















