Juan Mata - Foto: Press Association

LONDON – Juan Mata tidak berhasrat untuk meninggalkan Manchester United ke kelab lain.

Bintang antarabangsa Sepanyol itu bertegas mahu menamatkan kariernya di Theatre of Dreams sebagai pemain lagenda sepanjang zaman.

Mata, 29, mendedahkan dia tidak mempunyai niat untuk meninggalkan kelab yang disertainya pada 2014.

Dalam temubual eksklusif bersama ESPN Mata berkata: “Kenapa tidak. Saya kini berusia 29 tahun dan berharap beraksi di Old Trafford untuk beberapa tahun akan datang.

“Saya lebih gembira jika dapat terus bersama the Red Devils sehingga umur 40 tahun seperti Ryan Giggs.

“Masih terdapat 11 tahun lagi untuk mencecah tahap itu,” katanya.

Walaupun mata bersedia menamatkan kariernya di Manchester United, bekas pemain Chelsea itu berdepan persaingan sengit untuk beraksi dalam kesebelasan utama bersama Henrikh Mkhitaryan.

Mata berhijrah ke Old Trafford pada Januari 2014 di bawah kendalian David Moyes dengan nilai £37.1 juta.

Dia membantu Manchester United menjulang Piala Liga Europa dan Piala FA pada 2016. – MalaysiaGazette