Ketua Pemuda myPPP, Sathiah Sudakaran

KUALA LUMPUR – Perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands menjelang Pilihan Raya Umum (PRU14) seolah-olah tiada kesudahan.

Perebutan kerusi yang dipercayai ‘kerusi selamat’ Barisan Nasional (BN) terus berlaku antara Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kavyeas dan Penyelaras Cameron Highlands merangkap Ketua Pemuda MIC, C. Sivarraajh.

Bagaimanapun baru-baru ini, Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon secara terbuka menyatakan sokongan beliau bersama barisan sayap Pemuda MCA terhadap ‘bakal’ calon MIC yang mungkin mencadi calon kerusi Cameron Highlands.

Berikutan itu, Sin Woon yang juga Timbalan Menteri Pendidikan dibidas kerana mengamalkan pilih kasih dan tidak menghormati saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu calon ‘winnable’ dan bukan berdasarkan kerusi tradisi.

Menurut Ketua Pemuda MyPPP, Sathiah Sudakaran, sehingga kini, Najib tidak pernah menyatakan secara terbuka kerusi Cameron Highlands adalah milik MIC, sebaliknya beliau hanya mahu calon ‘boleh menang’ untuk bertanding kawasan itu.

Jelas Sathiah, Sin Woon dilihat tidak menghormati pesanan Najib yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan mengamalkan sikap ‘pilih bulu’ terhadap calon yang disukainya.

“Kami di MyPPP sangat kesal dengan saranan beliau yang secara terbuka telah meminta penduduk Cameron Highlands untuk mengundi Sivarraajh.

“Adakah Sin Woon peka dengan keadaan di Cameron Highlands ketika ini? Adakah beliau sedar dengan senario politik yang sedang melanda kawasan itu?

“Saranan anda seolah-olah pilih kasih dan tidak menghormati kehadiran Kavyeas yang sudah lebih tiga tahun berkempen dan menyelesaikan pelbagai permasalahan warga Cameron Highlands selama ini. Manakala Sivarraajh baru tiga bulan dilantik menjadi Penyelaras Cameron Highlands.

“Kavyeas bukan sahaja seorang pemimpin yang disegani oleh rakyat di sana malah sebenarnya telah mendapat mandat daripada Perdana Menteri sendiri untuk ke Cameron Highlands, memastikan kerusi tersebut kekal kepada BN selepas Ahli Parlimen kini, Datuk Seri G. Palanivel dipecat sebagai Presiden MIC dan kini, menjadi calon Bebas,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran memotong kek sambil diiringi Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon (tengah) pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun ke-70 SJK(C) Bertam Valley di Cameron Highland, Pahang. foto IQBAL BASRI, 18 NOVEMBER 2017

Jelasnya, Sin Woon gagal menyelam naluri dan kehendak penduduk Cameron Highlands yang sudah lama tidak mendapat perhatian dari Ahli Parlimen di situ kerana bukan anak jati.

“PRU14 kali ini bukan lagi medan permainan tetapi calon yang dipilih perlu calon yang berwibawa, disukai rakyat dan disegani oleh semua lapisan masyarakat dan kaum.

“Paling utama, calon yang memang asalnya dari Cameron Highlands dan ketika ini hanya, Kayveas sahaja memiliki kredibiliti sedemikian.

“Tidak salah untuk kita mencalonkan bakat muda di arena pilihan raya akan datang tetapi menentukan calon pilihan sendiri tanpa menghiraukan mandat dan saranan Perdana Menteri nyata memberikan impak negatif kepada kredibiliti kepada Sin Woon sendiri,” ujarnya.

Tambah Sathia, beliau berharap Sin Woon akan lebih sensitif semasa memberi kenyataan terbuka yang melibatkan parti komponen lain agar semangat setia kawan terus berkekalan antara satu sama lain.

“PRU14 akan datang amat penting kepada BN malah setiap langkah yang diambil, perlu menitik beratkan sikap setia kawan di antara parti komponen.

“Sebagai salah seorang daripada ahli komponen parti BN, Sin Woon perlu menyokong mana-mana calon yang dipilih Najib dan bukannya memilih kasih dan menamakan calon kesukaan beliau semata-semata,” tegasnya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast