Home Dunia Mugabe dapat habuan besar

Mugabe dapat habuan besar

Robert Mugabe dan Grace Mugabe

HARARE – Robert Mugabe dan isterinya akan menerima habuan bernilai berjuta-juta dolar sebagai sebahagian daripada perjanjian peletakan jawatannya sebagai Presiden Zimbabwe minggu lalu.

Jumlah sebenar yang diterima Mugabe dan isterinya, Grace tidak dijelaskan.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan parti pemerintah berkata, jumlah perjanjian itu tidak kurang daripada AS$10 juta.

Pegawai itu berkata, bahawa Mugabe juga diberi imuniti daripada pendakwaan dan jaminan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap kepentingan perniagaannya dan akan menerima bayaran tunai AS$5 juta dengan serta-merta.

Malah, gaji presiden yang dinikmati sebanyak AS$150,000 sebulan juga akan dibayar sehingga beliau mati.

Manakala Grace pula akan menerima separuh daripada jumlah gaji Mugabe sepanjang hayatnya.

Mugabe yang memerintah selama 37 tahun itu bakal meninggalkan pemerintahnya dengan nilai mata wang yang lemah, hutang besar dan populasi miskin tegar dan kadar pengangguran lebih 80 peratus.

Selain itu, jalan-jalan raya yang tidak bertar, masyarakat luar bandar tidak mempunyai bekalan elektrik, pendidikan asas dan penjagaan kesihatan hampir tidak wujud menyebabkan jangka hayat populasi Zimbabwe paling rendah di dunia.

Pasangan itu juga akan kekal berada di kediaman mereka – Blue Roof serta masih menikmati bayaran penjagaan kesihatan, kakitangan domestik, keselamatan dan pengembaraan luar negara.

Perjanjian itu dibuat selepas rundingan berlarutan antara presiden yang baru dilantik, Emmerson Mnangagwa dengan wakil-wakil Mugabe.

Bagaimanapun, perjanjian itu dikritik oleh pembangkang. – MalaysiaGazette