Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan berjaya mengurangkan jumlah pekerja asing pada 2017 menjadi 1.7 juta orang berbanding 1.9 juta tahun sebelumnya, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Ismail berkata, penurunan itu susulan langkah kerajaan yang menetapkan syarat baharu kepada majikan supaya mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Penurunan ini kerana dasar kerajaan dalam memastikan majikan mengambil pekerja asing tidak melebih 15 peratus dan mempromosikan penggunaan pekerja tempatan.

“Menggalakan sektor-sektor menggunakan tenaga buruh lebih banyak menggunakan mekanisasi dan automasi bagi mengurangkan kebergantungan buruh asing,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Ismail berkata, kerajaan juga sudah mengenal pasti punca kegagalan para belia memasuki pasaran kerja dan lantaran itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk untuk membantu pelajar khususnya yang tidak berjaya dalam bidang akademik memiliki kemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga mahir di sektor pekerjaan dalam negara.

“Hari ini persepsi masyarakat telah berubah dan tidak memberi tumpuan kepada kejayaan anak di peperiksaan akademik. Anak-anak yang tidak berjaya dalam bidang akademik boleh berjaya dan mempunyai masa hadapan cerah dengan TVET.

“Menerusi TVET kita akan dapat melahirkan tenaga kerja mahir dalam meningkatkan upskilling, risk scaling dan memberi peluang kepada kepada yang tidak berjaya dalam bidang akademik di bidang kemahiran tinggi yang amat diperlukan negara,” jelasnya.

Sementara itu, Ismail menjelaskan jumlah penggangguran di Malaysia pada suku kedua 2017 adalah 3.4 peratus atau 511,600 orang yang menganggur kerana pelbagai sebab.

“Kementerian masih berusaha bersungguh-sungguh mengatasi masalah ini.

“Pelbagai program telah dilaksanakan seperti mengurangkan kebergantungan pekerja asing dan menggalakkan majikan mengambil rakyat tempatan sebagai pekerja,” katanya. – MalaysiaGazette