Menteri Pertanian, Datuk Seri Ahmad Shabery Chek menyaksikan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Seri Saipolbahari Suib (kanan) bertukar memorandum persefahaman dengan Wakil Halways Sdn Bhd, Muhamad Akhmal Hakim Roslan pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 27 NOVEMBER 2017
KUALA LUMPUR  – Kumpulan Lembaga Peladang Kebangsaan (Nafas) telah menjana keuntungan bersih sebelum cukai dan selepas zakat berjumlah RM 149.05 juta untuk urusniaga tahun berakhir 31 Disember 2016.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata, Nafas juga merekodkan isipadu perniagaan berjumlah RM1.20 bilion bagi tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak RM40.47 juta berbanding  perniagaan tahun 2015 iaitu RM1.16 bilion sahaja.
Katanya, antara aktiviti yang menyumbang kepada Nafas adalah beberapa sektor utama iaitu pembekalan input pertanian bantuan kerajaan sebanyak 83.87 peratus, perladangan (6.9 peratus), ternakan dan pemasaran (5.28 peratus), kejenteraan (1.09 peratus ) pembuatan plastik (0.62 peratus) dan lain lain pendapatan (1.36 peratus).
“Dari segi gerakan Pertubuhan Peladang (PP) pula,  urusniaga berjaya dicatatkan keseluruhan bagi tahun 2016 ialah sebanyak RM3.20 bilion dengan keuntungan bersih (sebelum cukai dan zakat) RM225.35 juta,” katanya dalam ucapannya di Majlis Makan Malam bersempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas ke-44 di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Saipolbahari juga menjelaskan, pada tahun 2016 jumlah saham yang dimiliki ahli peladang seramai 879,801 orang di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) ialah bernilai RM209.21 juta.
Katanya, Nafas mensasarkan setiap ahli memiliki pegangan saham sekurang-kurangnya RM500 menjelang 2020 dan RM1000 menjelang 2025 dengan stiap ahli hanya perlu menambah RM10 atau RM120 setahun.
“Pada tahun 2020 anti dianggarkan seramai 1 juta ahli modal kerja PPK dengan secara keseluruhan berjumlah RM500 juta  dan 1.2 juta ahli menjelang 2025 dengan PPK keseluruhan berjumlah RM1.2 bilion.
“Sebagai sebuah pertubuhan yang dianggotai majoriti Melayu dan Bumiputera, Nafas akan terus mengutamakan agenda memperkasa Melayu dan Bumiputera menerusi rangkaan beberapa strategi perniagaan bermotifkan meningkatkan pegangan ekuiti.
“Sebagai langkah awal, Nafas telah membuat pelaburan dijangka memberi pulangan jangka masa panjang  antaranya kerjasama pembukaan kilang padi dan beras bersama 3 PPK di Kangkong, Kubur Panjang dan PPK Gerai.
“Pembangunan kilang makanan ternakan di Muar Johor dengan kerjasama antara Nafas, PP Johor dan Welmetra Sdn Bhd menggunakan teknologi dari Korea yang mampu menghasilkan makanan ayam dengan sasaran awal sebanyak 60,000 metrik tan setahun,” katanya.
 Selain itu, katanya, Nafas memprkenalkan sistem E-Padi  di 122 buah PPK dan akan dikembangkan ke semua 278 PPK. – MalaysiaGazette