Home Ekonomi AirAsia rai penerbangan sulung Macao, Kolkata ke Senai

AirAsia rai penerbangan sulung Macao, Kolkata ke Senai

KUALA LUMPUR – AirAsia meraikan dua penerbangan sulung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru dari Macao dan Kolkata, India.

Penerbangan terus dengan kekerapan tujuh kali seminggu dari Macao dan lima kali seminggu dari Kolkata adalah laluan keempat dan kelima yang dilancarkan oleh syarikat penerbangan itu ke hab selatannya pada tahun ini, selepas Johor Bahru-Jakarta, Johor Bahru-Kuala Terengganu dan Johor Bahru-Langkawi pada awal tahun ini.

Pelancaran itu mengukuhkan komitmennya untuk mengembangkan hab tersebut, di samping menambah dua pesawat A320 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada hujung tahun ini.

Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee berkata, AirAsia berbesar hati untuk menghubungkan lebih banyak laluan antarabangsa ke Johor Bahru dan menambah jumlah penerbangan terus untuk meningkatkan lagi kedatangan pelancong asing ke negeri ini.

Sejak 2010, AirAsia telah menerbangkan kira-kira 12 juta tetamu ke dan dari Johor Bahru dan kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan berterusan daripada kerajaan negeri Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

AirAsia kini beroperasi dengan 161 penerbangan sehala seminggu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Selain Macau dan Kolkata, AirAsia juga terbang dari Johor Bahru ke Bangkok, Guangzhou, Bandar Ho Chi Minh, Jakarta, Surabaya dan ke sembilan laluan domestik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Miri, Tawau, Sibu, dan Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette