Home Nasional Bajet 2018 diluluskan Dewan Rakyat

Bajet 2018 diluluskan Dewan Rakyat

Orang ramai tidak melepaskan peluang menonton pengumuman Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di salah sebuah kedai elektrik di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 diluluskan Dewan Rakyat malam ini selepas mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen melalui undian suara.

Ia diluluskan tanpa sebarang pindaan dan keputusan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee pada pukul 8.44 malam.

Terdahulu, RUU Perbekalan 2018 dibentangkan untuk bacaan ketiga oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani dan disokong oleh Datuk Hamim Samuri (BN-Ledang).

RUU Perbekalan 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Okt lepas telah dibahaskan selama 18 hari pada peringkat dasar dan peringkat jawatankuasa sejak 30 Okt.

Ia memperuntukkan sejumlah RM280.25 bilion sebagai perbelanjaan kerajaan pada 2018. – MalaysiaGazette