Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KOTA BHARU – Pas menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah lebih jantan daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.

Ini kerana Amiruddin lebih berani menyatakan pendiriannya apabila membuat pengumuman menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berbanding Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena yang tidak berani keluar daripada Pas.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya sudah menjangka Amiruddin yang keluar daripada parti itu untuk menyertai PPBB.

Katanya, berita itu tidak mengejutkan pihaknya dan yakin tindakan Amiruddin tidak akan menjejaskan Pas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Secara jujurnya berita ini tidak mengejutkan kita malah saya ucap tahniah kerana dia (Amiruddin) lebih jantan daripada Pokok Sena (Mahfuz) yang sampai sekarang pun tidak berani isytihar keluar dari Pas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahad lalu, Amiruddin mengumumkan menyertai PPBM selepas menyerahkan borang keahlian parti kepada Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bagaimanapun Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, Amiruddin tidak terlepas daripada bai’ah yang dilafazkannya semasa menjadi calon Pas dahulu.

“Pasal baiah itu dia tanggunglah, cuma di Kedah dan negeri lain tidak ada taklik talak dimasukkan dalam baiah seperti Kelantan, mereka hanya berbaiah untuk kekal dalam parti.

“Sesiapapun yang langgar tetap kena tanggung kerana baiah itu dimulai dengan sumpah atas nama Allah,” katanya. – MalaysiaGazette