Kamarulzaman Abdul Razak

PETALING JAYA – Semua guru dinasihatkan agar tidak cepat melatah berhubung dakwaan jamuan akhir tahun mereka menggunakan dana Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak berkata, perkara tersebut tidak perlu dipanjangkan lagi dan ia harus dihentikan, katanya seperti dilapor sebuah laman portal.

Menurut beliau, guru-guru jangan mengikut emosi berhubung isu tersebut dan sebaik-sebaiknya memaafkan pihak yang membuat dakwaan.

“Kalau orang (mendakwa) tu memahami, dia tidak akan cakap macam tu. Kalau tidak faham, maka janganlah mencampuri atau dia boleh menghubungi sekolah untuk mendapatkan kesahihan, bukannya membuat fitnah terhadap guru-guru.

“Kita (guru) pual tidak perlulah membesarkan perkara yang tidak memberi kesan kepada masyarakat. Nanti murid akan lihat tingkah laku guru. Sepatutnya kita menjadi contoh dan menjadi rakyat yang berfikiran positif,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, dakwaan berkenaan mencemarkan imej guru, Kamarozaman berkata, ia sekadar pandangan masing-masing tanpa perlu dipertikaikan.

“Kalau siapa yang membuat perkara itu (seperti didakwa), dia akan terasa, tetapi kalau kita tak buat, tak ada masalah,” tambahnya.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila ada pihak menuduh jamuan akhir tahun yang dianjurkan di beberapa sekolah menggunakan dana PIBG.

Perkara itu timbul apabila jamuan tersebut diadakan di hotel sekaligus menimbulkan syak wasangka. – MalaysiaGazette