Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersalaman dan beramah mesra dengan sebahagian pengusaha produk pada Majlis Minum Petang Bersama Pengusaha Produk Kesihatan dan Kecantikan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 29 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pengusaha-pengusaha produk kecantikan diingatkan supaya sentiasa menjaga kualiti produk serta keperluan agar sentiasa memenuhi piawaian.

Ia termasuk mendapat pengiktirafan daripada pihak berkuasa seperti Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya juga ingin menggalakkan agar tuan-tuan mencapai satu standard yang tinggi dalam penghasilan produk dan kalau boleh sehingga mencapai tahap piawaian antarabangsa,” katanya.

Najib berkata demikian pada Majlis Sepetang bersama pengusaha Produk Kecantikan dan Kesihatan buatan tempatan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh isterinya Datin Seri Paduka Rosmah Mansor.

Menurut Najib, industri berkaitan produk kecantikan di Malaysia dewasa ini berkembang maju selari dengan perkembangan di peringkat global.

Katanya, syarikat dan rakyat Malaysia berbelanja besar bagi tujuan rawatan dan produk kecantikan serta banyak yang menjalankan perniagaan atau perkhidmatan itu dengan mendaftarkannya.

Tambahnya, perniagaan itu juga dianggap berkembang dengan nilai tinggi dan kerajaan amat komited untuk membangunkan industri kecantikan ini.

“Dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengunjurkan eksport barangan kosmetik dalam industri, gaya hidup lelaki dan wanita dijangka berkembang pesat dipacu permintaan yang semakin tinggi.

“Barangan kecantikan lelaki bukan lagi eksklusif untuk wanita memandangkan kini lebih ramai lelaki sanggup berbelanja bagi penampilan peribadi mereka, sekaligus memperluaskan sasaran pasaran,” ujarnya. – MalaysiaGazette