Mantan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Pak Hamid Awaludin bercakap kepada media mengenai kenyataan Tun Mahathir terhadap kaum Bugis semasa sidang akhbar di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Serangan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengaitkan Bugis sebagai lanun merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak sebelum ini tidak ubah dengan taktik berpolitik Adolf Hitler pada Perang Dunia ke-2 (WW2).

Menurut bekas Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Hamid Awaludin dalam sidang media hari ini mengingatkan serangan berbau perkauman yang dimainkan oleh Hitler ketika itu merupakan antara sebab berlakunya peperangan.

“Saya ingin kongsi pengetahuan saya kepada semua bahawa, WW2 itu meletus antara lain adalah kerana persoalan ras ketika Hitler memainkan ras Arya yang agung dan menganggap bangsa lain sebaliknya, disitulah awal WW2.

“Adalah sangat bahaya bermain politik dengan melibatkan isu ras dan etnik. 72 tahun kemudian selepas tamat perang dunia kedua, masih ada pemimpin demi kepentingan politik, memainkan isu ras, ini bahaya. Jadi teman-teman, kita harus lihat persoalan ini secara serius,” katanya.

Justeru, kenyataan Mahathir, tersebut menurut Hamid, mampu memberikan kesan yang negatif terhadap hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia yang terjalin sekian lama.

Ini kerana menurutnya, menganggap Bugis itu sebagai lanun boleh memberikan persepsi bahawa Indonesia juga merupakan sebahagian daripada lanun berikutan suku Bugis juga sebahagian daripada bangsa Indonesia.

“Kedua-dua bangsa ini sudah terjalin hubungan yang sangat baik sejak kejadian tahun 1067 antara Malaysia dan Indonesia. Semuanya sudah selesai tetapi tiba-tiba ada Mahathir berpolitik demi kepentiongan politiknya mahu mengubah lagi keamanan yang sedia ada dengan memainkan isu ras dan etnik.

“Bagaimanapun, suku Bugis itu (sebahagian) bangsa Indonesia, jadi kalau ada orang yang menyentuh suku Bugis, bererti dia menyentuh bangsa Indonesia. Disinilah kesan ucapan Mahathir itu terhadap hubungan baik kedua negara.

“Meskipun kenyataan itu dituju kepada lawan politiknya iaitu Datuk Seri Najib Razak tetapi dia mengaitkan ras dan etnik yang dimiliki Najib dan itu yang menjadi persoalan buat saya sebagai orang Bugis,” katanya.

Tambah Hamid, kesan psikologi terhadap Mahathir juga menjadi pendorong kepada beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak masuk akal seperti itu berikutan pernah menjadi perdana menteri paling lama di negara ini.

“Kalau orang tanya saya bagaimana mahu mengkategorikan Mahathir dalam politik, dia seorang yang post power sindrome. Semua orang yang mengganti dia, dia benci.

“Pak Lah dia benci, Bermusuhan pula dengan Najib Razak. Ini bermaksud Mahathir tidak rela bahawa dia tidak berkuasa lagi. Perkataan yang paling tepat buat Mahathir itu adalah post power sindrome.

“Dia berseteru dengan Najib, tapi janganlah bawa-bawa isu ras dan etnik kerana ramai nanti orang yang marah termasuk kami yang berbangsa Bugis.

“Yang paling kami tidak boleh terima, kami dicop sebagai lanun Bugis. Label sosial itu sangat tidak mencerminkan Mahathir sebagai pemimpin, sebagai negarawan, yang bijak,” dakwanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast