Home Nasional Kaunter khas bantu pemindahan keluar rakyat Malaysia di Bali

Kaunter khas bantu pemindahan keluar rakyat Malaysia di Bali

Gunung Agung yang meletus sejak awal minggu ini telah menjejaskan pergerakan pelancong berikutan penutupan lapangan terbang. foto Agensi

JAKARTA – Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia membuka kaunter khas di lapangan terbang di Bali dan Surabaya bagi membantu proses pemindahan keluar rakyat Malaysia yang terkandas di Pulau Bali.

Menurut kenyataannya di sini, petugas kedutaan di kaunter itu akan membantu rakyat Malaysia yang ingin meninggalkan Bali melalui darat dan seterusnya berlepas pulang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya.

Rakyat Malaysia boleh mendapatkan perkhidmatan konsular dan hal ehlwal imigresen daripada petugas kedutaan di kaunter berkenaan.

Kedutaan juga bekerjasama dengan dengan Direktorat Jenderal Imigrasi Indonesia, syarikat penerbangan dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kelancaran proses pemindahan keluar itu, demikian menurut kenyataan tersebut.

Semalam, Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu kenyataan, berkata dianggarkan hampir 1,400 rakyat Malaysia terkandas di Pulau Bali sejak berlakunya letusan Gunung Agung pada 21 Nov lepas.

Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai, Bali ditutup sejak Isnin lepas berikutan aktiviti letusan Gunung Agung di Kabupaten Karangasem semakin serius dan mengeluarkan asap tebal yang mengganggu operasi penerbangan.

“Rakyat Malaysia yang berada di Bali dan terjejas penerbangan mereka disebabkan penutupan Lapangan Terbang 1 Gusti Ngurah Rai sejak 27 Nov lepas diminta untuk bertenang dan sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,\” kata kenyataan itu.

Sementara itu agensi berita Antara melaporkan pihak imigresen di Lapangan Terbang Gusti Ngurah Rai Bali hari ini melanjutkan tempoh pas keluar selama seminggu kepada pelancong asing yang visanya telah tamat tempoh. – MalaysiaGazette