Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rommy Ma' i' aruf mengaku tidak bersalah di Mahkamah Masjistret Bukit Mertajam di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang anggota polis.

PULAU PINANG – Seorang Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Masjistret Bukit Mertajam di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang anggota polis.

Tertuduh, Rommy Ma’ i’ aruf, 38, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Mengikut pertuduhan, Rommy sebagai pegawai yang bertanggungjawab membuat laporan terhadap perkembangan aktiviti perjudian di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) didakwa memeras ugut dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang pegawai polis sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai RM3,000 di sebuah stesen minyak di Seberang Jaya, kira kira pukul 9.30 malam 8 Jun lalu.

Wang itu diserahkan bagi mengelak anggota polis berkenaan ditahan SPRM memandangkan mangsa bertanggungjawab membuat laporan berkenaan aktiviti perjudian haram di daerah SPT.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Hafiz Hashim manakala tertuduh diwakili peguam, Chan Ai Mei.

Terdahulu, Muhammad Hafiz tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh namun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk mempertimbangkannya.

Bagaimanapun, peguam tertuduh meminta mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh merupakan penjawat awam selain sudah berkahwin serta mempunyai tiga anak berusia antara 12 hingga dua tahun.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melaporkan diri setiap dua minggu di balai polis berdekatan.

Kes itu disebut semula 4 Januari depan untuk serahan dokumen.

Pada 9 Jun lalu, tertuduh yang bertugas di Unit Risikan Zon Utara SPRM Putrajaya ditahan di sebuah restoran di Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam kira-kira pukul 10.20 malam.

Tertuduh ditahan selepas mengambil wang daripada anggota polis dan didakwa turut menetapkan wang bulanan sebanyak RM3,000 kononnya bagi menjaga pegawai polis yang bertugas di ibu pejabat Polis Daerah SPT. – MalaysiaGazette