Jamal Yunos

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Md Yunos bakal mendedahkan lebih ramai lagi pemimpin muda PKR di cabang yang memiliki kekayaan luar biasa dan memberi amaran kepada mereka untuk bersedia dengan pendedahan tersebut.

Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu berkata pemimpin Angkatan Muda Keadilan  banyak menyimpan kekayaan di luar negara dan memberi amaran supaya berjaga-jaga mereka bakal ‘dikerjakannya’.

“Semalam anak buah Azmin ditahan RM4 juta, (Pemimpin AMK cabang ini) banyak lagi.

“Saya dimaklumkan mereka simpan samunan lanun mereka di luar negara. Saya beri amaran kepada ketua AMK berkenaan, siap sedia anda, kami akan kerjakan selepas ini,” beliau dipetik berkata hari ini.

Menurut Jamal, Ketua AMK Cabang itu turut mempunyai kekayaan di London, Singapura, Australia dan Indonesia.`

Sebelum ini Jamal membuat pendedahan terhadap pemimpin muda AMK Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah dengan menyewa helikopter untuk membawa media melihat kediaman mewahnya pada 15 November tahun lalu.

Selepas mendedahkan pemuda itu memiliki banglo dan pelbagai kereta mewah, Jamal turut melaporkan kekayaan Adam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam, SPRM juga menahan anak saudara Azmin yang berusia 34 tahun dan tiga yang lain atas tuduhan terlibat dalam perlombongan pasir dan batu di sebuah lokasi di Kajang sejak 2014. – MalaysiaGazette