Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat merangkap Penaung Yayasan Amal Wangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan "Ceria Ke Sekolah" anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan di Atrium Wangsa 118, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique  menafikan dakwaan pihak luar kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapatkan khidmat pelobi untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dalam lawatan rasmi pada September lalu.

Beliau berkata, pertemuan antara Najib dan Trump sangat akrab serta berjaya malah sepanjang lawatan rasmi itu, aktiviti perdana menteri bersama Presiden Amerika Syarikat itu berjalan lancar.
Katanya, dakwaan itu juga telah dijawab oleh Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebelum ini.
“Presiden yang kebiasaanya hanya akan menegur delagasinya tidak lebih 3 minit di White House, tetapi dengan Najib dia meluangkan masa kira-kira 30 minit malah sidang Media turut disiarkan secara langsung dari White House,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan persekolahan berbentuk beg sekolah dan baucer RM100 kepada murid sekolah rendah dari 12 sekolah Kebangsaan di Parlimen Setiawangsa hari ini.
Zulhasnan berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang kononnya urusan Najib ke Amerika Syarikat bukan lawatan rasmi Ketua Negara selain didakwa melobi orang tengah dengan membayar lebih RM1 juta untuk bertemu Trump.
Mengulas lanjut, beliau turut kesal dengan fitnah dan dakwaan tidak berasas yang sebarkan pihak tak bertanggungjawab di negara ini sedangkan pertemuan yang berlangsung di Washington sangat baik, seperti kedua-dua pemimpin sudah lama kenal antara satu sama lain.
“Mungkin mereka sudah berkenalan rapat semasa bermain golf beberapa tahun lalu sebelum dia (Trump)  menjadi presiden.
“Kabinet Trump dengar teliti segala idea dan pendapat Najib  selain perkara berkaitan dagangan, Rohingya dan sebagainya dan kali pertama pertemuan antara pihak AS dan Malaysia, sidang media diadakan di dalam bilik kabinet rasmi AS yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Menurutnya lagi, lawatan rasmi itu juga memberi peluang kepada Najib bertemu dengan pakar-pakar pemikir di Washington dan mengadakan sesi soal jawab bersama mereka.
Malah jelas beliau, keakraban kedua-dua pemimpin itu berterusan hingga dalam Sidang Kemuncak ASEAN. – MalaysiaGazette