Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR –Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan, punca perpecahan berlaku dalam Pas disebabkan ada kumpulan tertentu mahu meminda perlembagaan parti dengan mahu meletakkan Majlis Syura Ulamak (MSU) sekadar penasihat yang tidak wajib dipatuhi.

Presiden Pas itu berkata, oleh kerana beliau tidak bersetuju dengan selera kumpulan yang dinamakan Islam liberal itu, maka puak berkenaan bertindak keluar dari Pas dengan dukungan dan sokongan dalang di belakangnya.

Katanya, kumpulan berkenaan mahu menjadikan Islam seperti agama ortodoks atau ideologi konservatif dengan tujuan untuk memancing undi pada pilihan raya.

“Kumpulan ini bukan saja gagal meminda perlembagaan Pas, mereka juga gagal mempengaruhi Muktamar Pas dan mengubah kepimpinan mengikut kemahuannya

“Mereka gagal menolak Pas dari belakang supaya menyertai Barisan Nasional (BN), di mana mereka juga sangat bernafsu menyertainya dengan cara menggunakan Pas menjadi tangganya kerana mencari jalan mudah setelah menemui kebuntuan.

“BN pula tidak ada nafsu selera untuk menerima mereka. Dengan itu, mereka menggelarkan Pas sebagai kumpulan suci iaitu bahasa baharu yang digunakan untuk memerli atau mengejek ketegasan sesiapa sahaja yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan al-Quran dan hadis seperti Pas,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Abdul Hadi, sebenarnya Pas hendak dijadikan kambing hitam untuk dikorbankan bagi pemujaan kemahuan nafsu kumpulan berkenaan dengan segala cara yang terdahulu dan diusahakan sehingga kini.

Katanya, daripada gerakan BERSIH pada namanya dan Pas berundur kerana jenama diragukan, diikuti pula susulannya menggunakan pelbagai pendekatan dan nama.

“Setelah mereka gagal dengan segala umpan, diuar-uarkan Pas yang pelahap mahu menyertai BN, bukannya mereka. Sebenarnya perniagaan politik mereka tidak laris kerana ditolak BN, ditolak Pas dan ada tanda awal ditolak rakyat dalam PRU akan datang.

“Apabila mereka merasakan Pas menjadi penghalang kepada mereka untuk ke Putrajaya melalui pintu belakang dan mahu memecahkan pintu hadapan dengan Pas menjadi kapak atau tukulnya, maka Pas tetap menjadi sasaran serangannya melalui lisan dan tulisan.

“Mereka akan gunakan media sosial di langit terbuka tanpa sempadan yang mudah dipergunakan dan ramai tentera upahannya walaupun Pas bukan parti kerajaan pusat dan kata mereka Pas sudah lemah, namun dihentam juga habis-habisan,” ujar beliau.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut berkata, kumpulan itu juga memfitnah Pas kononnya mendapat duit sebanyak RM90 juta dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast