Home Nasional Awasi anak jauhi kawasan larangan TNB

Awasi anak jauhi kawasan larangan TNB

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkenalkan inisiatif baharu berkaitan budaya keselamtan yang dikenali sebagai Tenaga Safety Culture (TSC).

KUALA LUMPUR – Sempena musim cuti persekolahan, ibu bapa atau penjaga disaran supaya menasihatkan anak-anak mereka menjauhi kawasan larangan Tenaga Nasional Berhad (TNB ) bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pengurus Besar (Perhubungan Awam & Dalaman) TNB, Datuk Omar Sidek menegaskan orang awam adalah dilarang berada di kawasan notis makluman potensi risiko kejutan elektrik dipasang.

“Jauhi dari menceroboh kawasan pencawang atau pepasangan TNB yang dipasang notis tersebut bagi mengelakkan risiko renjatan serta pancaran arka (flashover) dari arus bervoltan tinggi.

”Selain kecederaan serius dan kehilangan nyawa, ia juga boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan gangguan bekalan kepada pengguna,” jelas Omar.

Bagi kawasan berdekatan talian atas bervoltan tinggi, antara aktiviti yang tidak dibenarkan adalah bermain layang-layang dan permainan helicopter, drone atau kapal terbang kawalan jauh.

Membawa peralatan panjang seperti galah di bawah talian dan memancing di kolam atau tasik di bawah talian juga mengundang risiko yang sama.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak masing-masing tidak menyentuh atau menghampiri kabel yang terputus akibat pokok tumbang, terutamanya ketika hujan bagi mengelakkan kemungkinan renjatan elektrik.

Katanya, selaku syarikat yang prihatin terhadap aspek keselamatan elektrik, TNB sering melaksanakan kempen keselamatan elektrik sebagai usaha jangka panjang bagi mengurangkan kemalangan elektrik. – MalaysiaGazette