Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Jaringan Melayu Malaysia di Pandan Indah, Ampang. foto FAREEZ FADZIL, 23 JULAI 2017

AMPANG – Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini membuat tuntutan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) supaya menjelaskan beberapa isu yang melibatkan 35 peniaga Pasar Taman Muda Ampang, Selangor.

Pengerusi JMM, Datuk Azwanddin Hamzah yang mewakili kumpulan peniaga tersebut memberitahu, MPAJ telah menjanjikan tapak baru bagi kumpulan peniaga kecil di Pasar Taman Muda.

Bagaimanapun, tanah yang telah digazetkan sebagai tapak pasar sejak tahun 2012 itu telah dibangunkan oleh syarikat hiburan keluarga yang juga dipercayai menjalankan kegiatan judi.

“Tanah dan tapak tersebut telah digazetkan sebagai tapak pasar oleh MPAJ sejak tahun 2012. Apa yang berlaku, tanah tersebut telah diberi kebenaran kepada syarikat judi untuk membuat kompleks perniagaan yang bukan untuk peniaga kecil pasar dan sehingga kini, status tanah masih digazetkan sebagai tapak pasar.

“Selama ini peniaga telah dijanjikan untuk ditempatkan ke pasar yang sepatutnya dibina atas tapak tersebut, peniaga ini sudah menjalankan aktiviti mereka selama 30 tahun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ketika kumpulan peniaga kecil pasar tersebut membuat perjumpaan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Tiew Way Keng beberapa bulan lepas bersama wakil MPAJ, tapak tersebut sekali lagi dijanjikan untuk dibangunkan pasar kekal bagi kumpulan peniaga berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Taman Muda Selangor, Chow Chee Keen pula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka berkenaan isu tersebut kerana pernah didatangi oleh sekumpulan samseng yang mengugut kumpulan peniaga berkenaan supaya mengunci mulut.

Lebih malang, Cee Keen telah diberi notis tuntutan saman sebanyak RM1 juta berikutan tindakannya menyuarakan perkara tersebut dan dalam masa yang sama mengaitkan perkara itu dengan parti DAP.

“Yang lebih mengecewakan, mereka (DAP) melalui MPAJ telah menghantar samseng, mengugut peniaga-peniaga kecil supaya tidak menyuarakan isu tersebut. Beberapa kali samseng telah datang kepada peniaga.

“Saya cuma jual ayam, saya tolong peniaga-peniaga di sini suarakan tidak puas hati kita, mereka (DAP) kata kita burukkan mereka. Mereka hantar notis saman pula.

“Sebelum ini mereka janji mahu lindungi peniaga-peniaga kecil, bila kita suarakan kepada mereka untuk lindungi kita, mereka mahu saman saya,” ujarnya.

Berikutan pelbagai skandal yang didakwa oleh JMM melibatkan Way Keng, pemaju dan kumpulan peniaga di situ, Wazwandin berkata, JMM akan membawa perkara tersebut ke pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi tindakan selanjutnya.

Tindakan tersebut, katanya, akan dibuat dalam masa terdekat selain membuat satu lagi laporan polis berhubung ugutan daripada samseng terhadap kumpulan peniaga berkenan.-MalaysiaGazette