Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berucap pada Majlis Pelancaran Kuala Lumpur Wedding Festival di Hotel Premiera Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Persidangan antarabangsa Wanita dalam Politik 2017 (WIPKL) yang bermula esok akan mewujudkan satu platform bagi wanita mengguna pakai Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) untuk kekal relevan dalam era digital, kata Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Jalil.

Bertemakan ‘Wanita dan Revolusi Industri 4.0: Kepimpinan dan Kesaksamaan Substantif’, beliau berkata persidangan dua hari itu akan mewujudkan kesedaran bagi wanita dalam politik untuk memahami dan menggunakan teknologi.

“IR4.0 adalah mustahak untuk pemimpin wanita dalam politik memahami dan memimpin wanita agar terus relevan. Sekiranya tidak memahami IR4.0, mereka akan ketinggalan.

“Persidangan ini penting bukan sahaja untuk wanita Malaysia tetapi kami berharap ia dapat mewujudkan laluan politik baharu buat semua pemimpin wanita khususnya dalam politik,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin wanita asing di sini hari ini.

WIPKL 2017 diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO. Persidangan itu pertama kali diadakan pada 2015 semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015.

Shahrizat berkata penceramah dari 18 negara dan 27 parti politik termasuk Amerika Syarikat, Uganda, Palestin, Mauritius, Kyrgyzstan akan menyertai persidangan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Beliau berharap persidangan yang akan dihadiri oleh wanita-wanita ikonik akan memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita di negara ini, khususnya mereka yang terlibat dalam bidang politik untuk lebih berjaya.

“Kita akan membawa resolusi persidangan ini kepada negara-negara yang terlibat. Selain itu, saya akan memaklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk memastikan wanita Malaysia tidak ketinggalan dalam dunia politik,” katanya.

Kira-kira 1,000 delegasi dijangka menyertai WIPKL 2017. Antara penceramah yang terlibat ialah Ketua Whip Kerajaan Uganda Ruth Nankabirwa, Menteri Kedua Tenaga Manusia Singapura Josephine Teo dan Pengarah Serantau Wanita PBB bagi Asia Pasifik Dr Miwa Kato.

Persidangan itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepimpinan wanita dan kesaksamaan substantif dalam konteks IR4.0 selain merupakan peluang kepada delegasi membina hubungan baharu dan menggalakkan perbincangan mengenai isu wanita dan politik.

WIPKL 2017 yang dianjurkan oleh Wanita UMNO akan dirasmikan oleh Najib esok.- BERNAMA