Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang bersedia membatalkan projek pembalakan dan pembangunan di Hutan Merapoh Lipis dekat sini, mengambil kira kepentingannya sebagai kawasan tadahan air.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pembatalan itu boleh dilakukan dan akan dilakukan lebih awal sekiranya beliau dimaklumkan mengenai projek berkenaan pada peringkat awal.

Adnan menambah kata projek pembalakan di kawasan itu adalah di bawah Yayasan Pahang (YP) manakala kerja pembangunan bagi membuka ladang kelapa sawit berlaku di tanah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Pahang (LKPP).

“Pembalakan oleh YP itu duitnya digunakan untuk beri biasiswa (kepada anak Pahang yang melanjutkan pelajaran). Tanah LKPP pula diberikan pada tahun 1992. Sekarang ini masalahnya kita diberitahu lambat.”

“Kalau penting untuk kawasan tadahan air, kita boleh batalkan untuk balak, LKPP cari kawasan lain untuk kelapa sawit… bukan payah sangat sebab menteri besar ialah pengerusi YP dan LKPP,” katanya.

Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sebuah persidangan pembangunan sumber galian di Malaysia di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) Datuk Seri Dr Hamim Samuri.- BERNAMA