KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri (JIM) Kelantan membongkar satu sindiket membuat senjata api haram didalangi pekerja asing di Kelantan malam tadi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, bengkel haram membuat senjata api itu dibongkar dalam serbuan mereka ke penempatan kongsi pekerja asing di kawasan Tanah Rancangan Kemahang 2.

Menurutnya, kejayaan itu ekoran pasukan penguat kuasa JIM memeriksa kawasan kepungan lokasi di bawah Ops Kutip.

“Bengkel seperti bangsal itu terletak di sebuah penempatan asrama pekerja asing yang diuruskan sebuah syarikat perladangan ternama negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mustafar, pemeriksaan ke atas bangsal yang dilengkapi bekalan eletrik tersebut juga menemui peralatan membuat senjata api.

Pasukan pemeriksa, katanya, menemui selaras senapang yang sudah siap dan tiga laras senapang yang masih dalam pembuatan.

Turut ditemui sebotol bekas yang mengandungi bola nesi yang dipercayai peluru.

JIM telah memaklumkan perkara itu kepada PDRM untuk tindakan lanjut dan kes penemuan bengkel senjata api haram itu diserahkan kepada PDRM Kelantan untuk tindakan susulan.

Ops Kutip diketuai oleh Pengarah JIM Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff dengan anggta seramai 22 orang setelah menerima maklumat awam dan risikan sendiri mengenai adanya penempatan pendatang asing tanpa izin di kawasan tanah rancangan kelapa sawit berkenaan.

Dalam serbuan yang sama, kata Mustafar, sebanyak 81 pekerja asing telah diperiksa dan seramai 52 daripadanya dibawa ke pejabat penguat kuasa JIM Kota Bharu kerana gagal mengemukakan dokumen pasport.

“Ini bukan kali pertama senjata api ditemui dalam operasi JIM dan sebelum ini pihanya turut menemui senjata api dalam serbuan dijalankan.

“Ia membuktikan kehadiran warga asing di Malaysia bukan hanya sekadar PATI tetapi turut menjadi ancaman keselematan dan kedaulatan negara,” kata Mustafar.- MalaysiaGazette