Foto Instragram Marion Caunter.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF)  mengumumkan pelantikan selebriti, Marion Caunter sebagai penaungnya.

MGF dalam satu kenyataan berkata, Marion memegang jawatan tersebut tepat pada masanya seiring dengan rancangan MGF untuk mengembangkan aktiviti dan programnya di bawah kepimpinan Datuk Jaya Al Bakri.

Malah Marion yang juga dianggap ikon fesyen dianggap calon sesuai untuk menggalas tanggungjawab tersebut memandangkan sukan gimnastik majoritinya terdiri daripada kanak-kanak dan golongan remaja.

Presiden MGF, Jaya turut meluahkan rasa bangga kerana Marion yang merupakan isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syarikat Naza, S.M. Nasarudin S.M. Nasimuddin bersetuju untuk menerajui persatuan tersebut.

“Kami amat berbesar hati dan bertuah untuk bekerjasama dengan beliau dalam meneruskan perjuangan kami bagi mengangkat martabat sukan gimnastik ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, atlet gimnas kebangsaan akan mengharungi dua kejohanan utama tahun depan iaitu Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada April dan Sukan Asia (Jakarta – Palembang) pada Ogos depan. – MalaysiaGazette