Datuk Awang Adek Hussin

KUALA LUMPUR – Ketua Bahagian UMNO, Bachok Datuk Awang Adek Hussin mendedahkan Barisan Nasional (BN) menghadapi kesukaran menawan Kelantan ketika zaman kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, ia berikutan sentimen anti Mahathir yang juga sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Tengku Razaleigh (Hamzah) itu bukan sahaja sebagai tokoh politik paling lama di Kelantan malah beliau juga hebat dan sudah tentu beliau tahu selok belok dan budaya politik rakyat Kelantan itu sendiri.

“Rakyat Kelantan memang membenci Tun M atas beberapa tindakannya, dan ditambah dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan pembangkang membuatkan sentimen Anti Mahathir meluap-luap pada rakyat Kelantan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh semalam yang mendakwa salah satu punca BN sukar merampas Kelantan ialah faktor Mahathir.

Tambah Awang, kenyataan Tengku Razaleigh itu telah dibuktikan pada PRU ke-11 iaitu ketika PRU kali pertama UMNO dan BN diteraju oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Ketika PRU 2004, Pak Lah memimpin UMNO dan BN pertama kali menghadapi pilihanraya dan hampir-hampir berjaya menawan Kelantan dengan kekalahan tipis dua kerusi DUN.

“Kemudian kita berjaya menjadikan perbezaan satu kerusi pada pilihanraya kecil Pasir Mas tak lama kemudian.

“Ini jelas, personaliti dan pembawakan politik Pak Lah lebih disukai dan dihormati rakyat Kelantan berbanding di zaman Tun M,” jelasnya.- MalaysiaGazette