Tan Sri Muhammad Taib

KUALA LUMPUR – Jangan sesekali meminggirkan masalah kecil yang menyelubungi pemimpin serta ahli UMNO semua peringkat jika mahu melihat parti itu kekal relevan.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, itu pesanan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang juga mahu pemimpin tertinnggi UMNO perlu menyelesaikan masalah dalaman termasuk perselisihan pada kadar segera.

“Hari ini presiden bercakap kepada jentera mesti siap siaga, ketepikan masalah-masalah besar, jangan perkecilkan masalah-masalah kecil, kalau boleh hapuskan terus.

“Itu adalah battle cry yang dibuat oleh presiden dan saya percaya ia sambut dengan sangat baik oleh perwakilan hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program taklimat presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Muhammad juga tidak menafikan masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbetulkan kepimpinan parti itu bukan Selangor dan Pulau Pinang semata-mata.

“Saya fikir Barisan Nasional (BN) sudah bersedia, apabila dipanggil bila-bila masa oleh presiden bila dibubarkan saja saya tengok semangat, moral tinggi yang sekarang ini nak diperbetulkan sedikit-sedikit di sana sini saja.

“Presiden tidak sentuh spesifik, apa yang penting jentera kena berpadu macam penumbuk kita jangan ada tertinggal satu jari, mesti genggam betul-betul dan mesti bagi kejutan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette