Jailani Johari

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mahu ahli-ahli dan penyokong parti menyelesaikan masalah dalaman dan bersatu hati tatkala pilihan raya umum semakin hampir.

Ketua Bahagian UMNO Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari memberitahu, Najib menyampaikan amanat tersebut kepada semua perwakilan semasa taklimat presiden di PWTC hari ini sebelum pembukaan rasmi Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) esok.

“Kita harus bersatu hati, persiapkan minda untuk memenangi pertarungan nanti. Ahli UMNO perlu bersatu hati dan selesaikan masalah dalaman dan bersiap sedia untuk menghadapi PRU-14 nanti,” kata beliau semasa ditemui selepas taklimat petang tadi.

PAU 2017 dianggap himpunan terpenting sebelum UMNO dan Barisan Nasional turun dalam pilihan raya yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Jun tahun depan. – MalaysiaGazette