Antara ketulan ganja yang dirampas dalam sebuah kenderaan di Kuala Kedah pagi tadi.

BATU PAHAT- Polis menahan sepasang pengantin baharu susulan penemuan ganja seberat 23.7 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM72,000 dalam bilik di kediaman mereka di Sungai Dulang Darat Rengit.

Pasangan berusia 26 dan 24 tahun itu ditahan semalam, selepas 24 ketulan ganja ditemui disembunyikan dalam tiga kotak berasingan yang diletakkan bersama longgokan hadiah perkahwinan mereka.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, dipetik sebagai berkata pasangan itu berkahwin pada Oktober lalu dan baru sahaja mengadakan majlis resepsi pada minggu lalu di kediaman pengantin lelaki.

Katanya, turut ditahan dua lagi suspek adik perempuan dan sepupu pengantin lelakimasing-masing 24 dan 23 tahun.

“Pengantin lelaki adalah suspek utama dan ketua sindiket Geng Doyok yang aktif mengedar ganja sejak tujuh bulan lalu untuk pasaran daerah ini dan Pontian.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam bilik pengantin berkenaan menemui 24 ketulan ganja mampat berbalut plastik lutsinar seberat 23.7 kg dan dianggarkan bernilai RM72,000.

“Ujian saringan air kencing dua suspek lelaki iaitu pengantin lelaki yang juga pemandu lori serta sepupunya turut positif dadah, namun keempat-empat mereka tiada sebarang rekod kesalahan lampau.

“Polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira dan wang tunai RM300 milik suspek utama. Kita dalam usaha mengesan akaun milik kesemua suspek untuk tindakan lanjut, ” katanya.

Abdul Wahib dalam pada itu menambah, kesemua suspek ditahan reman seminggu bermula Selasa sehingga Isnin depan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Penemuan ganja yang dipercayai diseludup sindiket dari Thailand merupakan antara kejayaan besar Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Pahat tahun ini hasil lima bulan risikan. – MalaysiaGazette