Datuk Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Jika ramai calon muka baharu dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) UMNO secara automatik menyediakan barisan pimpinan pelapis bagi meneruskan perjuangan pada masa depan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, UMNO perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon muka baharu bagi memastikan apa yang diperjuangkan presiden parti, Datuk Seri Najib Razak selama ini diteruskan.

“Calon muda dan baharu berbeza. Baharu mungkin berusia dan muda mungkin tidak ada pengalaman. Saya masih konsisten bahawa kita kena bagi kepada tiga bahagian. Yang senior, pertengahan dan muda.

“Dalam 30 hingga 40 peratus itu adalah jumlah terbaik kerana dalam parti tidak boleh semua orang muda, nanti kurang dari segi pengalaman,” katanya ketika membuat lawatan di Laman Media, Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Tambah Sohaimi, dengan mengemukakan calon muka baharu, maka sasaran dua pertiga lebih berpeluang dapat direalisasikan.

“Saya rasa Presiden UMNO yakin akan dapat dua pertiga kerana gerak kerja yang kita buat menjurus kearah itu. Kita akan berusaha untuk mencapai dalam apa keadaan sekali pun.

“Bila kita wujudkan sangat ingin menang itu, jadi semua ini akan membuatkan kita lebih bersedia dan melangkah kearah sasaran.

“Mudah-mudahan gerak kerja yang kita buat ini releven dan mendapat sokongan rakyat dan saya percaya bahawa UMNO dan BN yang telah berusia 71 tahun ini, satu-satunya parti yang masih konsisten dengan polisi dari awal penubuhan,” katanya lagi.

Semalam, Najib yang juga Perdana Menteri dalam majlis taklimat tertutupnya mahu Barisan Nasional (BN) memperoleh kedudukan selesa dalam PRU-14. -MalaysiaGazette.