Timbalan Presiden Kelab Putra 1 Malaysia, Datuk Mohd Farid menyampaikan sumbangan makanan dan minuman kepada ahli UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO ke 71 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Segala langkah terbaharu mengenai isu Baitulmaqdis tunggu persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden Kelab Putra 1Malaysia (KP1M), Datuk Mohd. Farid Hassan berkata, pihaknya masih menunggu isyarat daripada Najib samada untuk turun ke Gaza, Palestin atau mengadakan demonstrasi menolak langkah Amerika Syarikat mengiktiraf kota suci umat Islam itu sebagai ibu negara Israal.

“Isu adalah isu antara negara dan kami harus duduk dan berbincanglah dengan Perdana Menteri untuk tindakan lanjut.

“Saya dimaklumkan akan ada kenyataan daripada Perdana Menteri, dan kita tunggu dahulu. Kemudian kami akan susul dengan tindakan lanjut,” katanya di perkarangan lobi utama Pusat Dagangan Dunia Putra disini hari ini.

Semalam, Najib selaku Presiden UMNO menolak sekeras-kerasnya cadangan Presiden AS, Donald Trump untuk menjadikan kota itu ibu negara rejim Israel.

Pendirian tegas itu dizahirkan Najib ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017).

Dalam pada itu, kira-kira 500 bungkus nasi beriani diedarkan kepada pengunjung Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017) setiap hari sepanjang persidangan ini berlangsung.

“Khidmat ini telah kami beri dekat 10 tahun, sejak Biro Putra UMNO Malaysia yang diketuai oleh Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

“Tahun akan datang pasti akan diteruskan dan sentiasa memberi kepada rakyat terutamanya ahli-ahli UMNO.

“Setiap hari kami beri 500 bungkus makanan, itu terpulang kepada permintaan, satu-satu masa boleh cecah sehingga 700 bungkus bergantung kepada permintaan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.