Para perwakilan Pergerakan Puteri UMNO bersemangat menyanyikan lagu Puteri UMNO sebelum bermulanya pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Perwakilan Puteri yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini menyifatkan persidangan yang berlangsung kali ini penuh semangat demi mencapai matlamat kemenangan pada Pilihan Raya Umum nanti.

Malah, beberapa perwakilan yang ditemui MalaysiaGazette melahirkan rasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh pembahas ketika membahas ucapan dasar presiden semasa perhimpunan itu.

Perwakilan Selayang, Nurul Hana Kulup Mat Ratu, 37, berkata, intipati perbahasan yang dibawakan oleh perwakilan daripada negeri-negeri berkait rapat dengan pilihan raya umum yang akan ditempoh tidak lama lagi.

Nurul Hana Kulup Mat Ratu

Katanya, dia begitu teruja mendengar perbahasan oleh para perwakilan lebih-lebih lagi jika isu yang dibawa melibatkan pendidikan.

“Mereka membawakan isu perjuangan yang sangat ketara khususnya kepada warga UMNO. Mereka mahu kami berjuang mempertahankan parti keramat ini demi agama dan bangsa.

“Saya datang ke sini sebenarnya membawa manifesto saya sendiri iaitu kelestarian politik melalui pendidikan. Bukan saya hendak berpolitik dengan cara itu tapi ia timbul diatas semangat cintakan negara dan bangsa,” katanya.

Nurhamiza Dinih

Sementara itu, perwakilan dari Kinabatangan Nurhamiza Dinih, 32, memberitahu, beliau yakin menerusi semangat yang ditonjolkan oleh para perwakilan Barisan Nasional dan UMNO akan mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, golongan muda sangat yakin dengan keupayaan Barisan Nasional untuk terus menerajui negara ini kerana bukti itu telah dilihat oleh mereka semdiri.

“Kita berharap kepada pimpinan agar memberi peluang kepada golongan muda untuk menjadi teraju kempimpinan pada masa akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette