Imej pelancaran peluru berpandu Hwasong-15 yang dilancarkan Korea Utara pada 29 November lalu. foto Agensi.

MONTREAL – Agensi penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mempertimbang untuk mewujudkan zon ‘larangan terbang’ di sekitar Korea Utara kerana hala tuju ujian senjata oleh Pyongyang tidak boleh diramalkan.

Bagaimanapun, beberapa syarikat penerbangan sudah pun mengelak dari melalui ruang udara Korea Utara, malah ada juga mengadakan laluan semula penerbangan untuk mengelakkan Laut Jepun disebabkan siri ujian peluru berpandu.

Air France KLM SA dan Lufthansa telah melaksanakannya pada bulan Ogos, manakala Singapore Airlines Ltd juga mengesahkan tidak melintasi bahagian utara Laut Jepun sejak Julai lalu.

Sementara itu, OPSGROUP, yang menyediakan panduan keselamatan kepada syarikat penerbangan pada bulan September memberitahu, bahagian barat ruang udara Jepun adalah kawasan berisiko kerana banyak kemasukan semula peluru berpandu Korea Utara ke kawasan yang sama.

Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Alexandre de Juniac dipetik di South China Morning Post memaklumkan bahawa Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) “boleh mengisytiharkan zon tanpa terbang” di rantau itu.

ICAO yang berpangkalan di Montreal tidak boleh mengenakan peraturan seperti memerintahkan negara untuk menutup ruang udara domestik mereka, tetapi pengawal selia dari 191 negara anggota hampir selalu melaksana dan mengukuhkan piawaian yang ditetapkan untuk penerbangan antarabangsa.

ICAO telah mengutuk Korea Utara kerana melancarkan peluru berpandu tanpa notis, satu langkah yang boleh memberi ancaman kepada penerbangan komersial.

Ujian peluru berpandu itu membimbangkan pihak berkuasa penerbangan awam berikutan kejadian yang menimpa pesawat MH17 Malaysia di Ukraine.

Setakat ini, Korea Utara tidak mengendahkan permintaan ICAO untuk memberi notis terlebih dahulu mengenai apa-apa pelancaran, menurut sumber,

Walaupun ICAO menggesa syarikat penerbangan untuk mengambil langkah berjaga-jaga, agensi penerbangan PBB pula tidak menyokong zon larang terbang kerana langkah sedemikian akan mengganggu syarikat-syarikat penerbangan, selain itu ia juga tidak jelas di mana Korea Utara akan melancarkan peluru berpandu semasa ujian.

“Ia sangat rawak, ia (tiada zon terbang) menjadi tidak berkesan,” kata salah seorang sumber. – MalaysiaGazette