Home Nasional Lelaki mengaku salah cuba ambil alih kawalan pesawat Malaysia Airlines

Lelaki mengaku salah cuba ambil alih kawalan pesawat Malaysia Airlines

Manodh Marks diikat dan dikawal oleh penumpang dan anak kapal selepas membuat kekacauan dalam pesawat Malaysia Airlines pada 31 Mei lalu. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Lelaki Sri Lanka yang memaksa pesawat Malaysia Airlines berpatah balik ke Melbourne selepas berlepas mengakui cuba memasuki kokpit dengan mengancam untuk bom pesawat berkenaan.

Manodh Marks, 25, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melbourne semalam atas tuduhan mahu menguasai pesawat berkenaan dalam kejadian yang berlaku pada 31 Mei lalu, menurut laporan media Australia.

Marks telah menyebabkan kekecohan pada penerbangan MH128, yang membawa 337 penumpang, ketika menyerang seorang anak kapal wanita dan mengancam untuk mengebom pesawat.

Bagaimanapun, tindakan pantas penumpang dan krew kabin berjaya mengikat Marks sehingga pesawat mendarat di Lapangan Terbang Tullamarine di Melbourne.

Marks yang menggunakan perkhidmatan penterjemah dilaporkan berkata: “Saya mengaku bersalah, Yang Arif”.

Dia menghadapi hukuman penjara selama 20 tahun.

Laporan berkata, dalam perjanjian rayuan, pendakwa telah menggugurkan tuduhan ycuba merampas pesawat, yang membawa hukuman maksimum hukuman penjara seumur hidup.

Tuduhan melakukan tindakan melulu yang membahayakan keselamatan pesawat udara juga ditarik balik bersama dengan pertuduhan ketiga mengancam untuk memusnahkan, merosakkan atau membahayakan keselamatan pesawat, atau untuk membunuh atau mencederakan sesiapa sahaja yang berada di atas kapal.

Marks dikatakan sedang dalam tahanan dan akan menghadapi Mahkamah Daerah Melbourne pada April untuk pendengaran rayuan.

Tertuduh tidak ditawarkan untuk jaminan.

Marks sebelum ini dikatakan tidak stabil secara mental dan dibebaskan dari psikiatri ketika menaiki penerbangan Malaysia Airlines pada 31 Mei. – MalaysiaGazette