Wakil Segamat, Johor, Senator Zahari Sarip menyampaikan usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 09 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – UMNO Johor hari ini mencadangkan agar diwujudkan Tabung Wakaf Pendidikan untuk memperkasakan pengajian tinggi bagi pelajar Melayu di seluruh negara.

Perwakilan Johor, Senator Zahari Sarip yang mencadangkan perkara itu memberitahu, ia berdasarkan kejayaan konsep wakaf di Johor bagi membolehkan masyarakat berinfaq dan menyumbang kepada pendidikan anak bangsa.

Katanya, menerusi penubuhan tabung wakaf itu ia membolehkan pelajar yang meminjam sebanyak RM30,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya perlu membayar RM20,000 dengan baki selebihnya (RM10,000) boleh dibiayai tabung wakaf itu.

“Kesedaran masyarakat mengenai kepentingan dan peranan wakaf pendidikan ini semakin meningkat.

“UMNO Johor berharap Kementerian Pendidikan akan mengambil peranan untuk mengendalikan Tabung Wakaf Pendidikan itu.

“Kita juga mencadangkan untuk keluarga luar bandar berpendapatan kurang RM5,000 di mana tiada bapa, ibu atau mana-mana ahli keluarganya yang pernah masuk ke universiti, untuk anak pertama keluarga itu wakaf pendidikan itu dijadikan sebagai biasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencadangkan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu Zahari berkata, sebagai ganjaran kepada pelajar itu, pakaf pendidikan tersebut akan membantu pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Wakaf Pendidikan itu juga membantu mengurangkan hutang pendidikan anak Melayu, selain meringankan beban PTPTN dalam pembiayaan pendidikan tinggi dan membolehkan lebih ramai pelajar mendapat pembiayaan pendidikan,” ujarnya yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Segamat.

Tambahnya, UMNO Johor turut mencadangkan agar disiplin coding diperluaskan menjadi bidang utama di bawah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional untuk dijadikan satu mata pelajaran.

Katanya, disiplin coding mempunyai potensi masa depan yang besar kerana ia boleh diajar secara interaktif, fokus dan tidak perlukan masa pengajian lama. – MalaysiaGazette