Patung Puteri Diana akan ditempatkan di luar bangunan Istana Kensington.

LONDON – Pejabat Putera William dan Harry mengumumkan pemilihan pengukir untuk  menyempurnakan ukiran patung Puteri Diana sempena memperingati 20 tahun pemergian beliau.

Pengukir yang dipilih mengukir patung ibu mereka adalah individu yang sama mengukir wajah Ratu Elizabeth di atas wang syiling Britain.

Ian Rank-Broadley pernah mengukir patung ratu di seluruh United Kingdom termasuk syiling Komanwel sejak 1998.

Beliau akan mereka bentuk patung itu yang tidak akan didedahkan sehingga tahun depan.

“Ian adalah pengukir yang sangat luar biasa dan kami tahu dia akan menghasilkan mutu kerja untuk bonda kami,” kata Putera William dan adiknya, Putera Harry dalam satu kenyataan bersama.

Pada Januari lalu, dua putera bersaudara ini mengarahkan patung diukir sebagai memperingati bonda mereka yang terbunuh dalam kemalangan ngeri di Paris 20 tahun lalu.

Patung itu akan ditempatkan di luar bangunan Istana Kensington.

Mendiang Diana yang merupakan isteri pertama Putera Charles terbunuh apabila limosin yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan di dalam terowong di Paris pada Ogos 1997. – MalaysiaGazette