TEL AVIV – Beribu-ribu penduduk Israel melakukan demonstrasi jalanan di Tel Aviv bagi menggesa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bersara ekoran dakwaan rasuah.

Perarakan yang dikenali ‘March of shame’ menarik lebih 10,000 orang semalam, lapor Ynet News. Peserta demonstarsi di Lebuh Rothschild, Tel Aviv melaungkan ‘Malu, malu, malu’, “Bibi Netanyahu ke Penjara Maasiyahu’ dan ‘Kami tidak akan menyerah sehingga anda menyerah’.

Penganjur demonstrasi, Eldad Yaniv dan Meni Naftali yang sebelum ini menganjurkan perarakan anti rasuah secara mingguan di Petah Tikva berkata, masyarakat marah dengan ‘tempoh siasatan terhadap Perdana Menteri Netanyahu’.

“Kami mahu kontrak baharu dengan ahli politik, tanpa bersengkongkol dengan orang kaya. Kami mahu pemimpin baharu dan kontrak baharu. Ahli politik yang bekerja untuk kami tidak makan rasuah. Ahli politik yang melihat keadilan,” kata Yaniv kepada Ynet News.

Bilangan peserta demonstrasi yang lebih kecil dianjurkan di lokasi lain di Israel, termasuk Nahariya, Hadera, Afula, Netanya, Rishon LeZion, Modi’in, Jerusalem dan Be’er Sheva.

Netanyahu telah disiasat dalam dua kes, dengan polis mengesyaki Perdana Menteri itu menerima hadiah yang mahal daripada seorang ahli perniagaan dan melakukan rundingan dengan pemilik akhbar tersebut untuk mendapat liputan yang lebih meluas.

Sementara itu, Perdana Menteri tersebut dalam perjalanan ke Perancis untuk bertemu Presiden Emmanuel Macron dengan ketibaannya akan menyaksikan perarakan anti Netanyahu secara besar-besaran di Paris.

Beribu-ribu orang yang marahkan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump megiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel melakukan tunjuk perasaan yang menunjukkan solidariti terhadap Palestin di ibu negara Perancis itu.

Mereka mengibarkan bendera Palestin, mencemuh Perdana Menteri Israel itu sebagai ‘penjenayah perang’ dan melaungkan ‘Boikot Israel’ dan menyatakan sokongan terhadap ‘Intifada ketiga’.

Sementara itu, pertempuran terus berlaku di Baitul Maqdis timur, Tebing Barat dan Gaza berikutan pengumuman Trump pada Rabu lalu.

Dua orang warga Palestin terbunuh dan lebih 1,000 orang cedera pada Jumaat lalu dan 200 individu cedera semalam ketika angkatan keselamatan Israel menembak peluru getah dan peluru hidup seta melepas gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan. – Agensi