Ismail Sabri Yaacob
Ismail Sabri Yaakob

 

BANTING – Felcra Berhad (Felcra), sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), hari ini mengumumkan pengagihan dividen interim kedua berjumlah RM101.48 juta kepada 70,856 peserta FELCRA seluruh negara bagi tahun 2017.

Menteri KKLW, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelazimannya keuntungan ladang akan dibayar tiga kali setahun kepada para peserta dalam bentuk interim pertama yang biasanya dibayar sebelum Hari Raya, interim kedua sebelum mula persekolahan dan akhir.

“Keuntungan kasar ladang diperoleh sehingga September 2017 adalah sebanyak RM406.07 juta, selepas ditolak potongan wajib antaranya seperti potongan bayaran balik hutang kerajaan persekutuan, hutang kerajaan negeri dan Tabung Tanaman Semula.

“…dan keuntungan bersih yang boleh diagihkan adalah RM101.48 juta,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pengagihan Dividen Interim 2/2017 Peserta Felcra Berhad di Kolej Mara Banting di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Felcra, Datuk Bung Moktar Radin dan kira-kira 500 peserta Felcra Bukit Changgang dari Sepang.

Tambah Ismail Sabri, secara purata dianggarkan bagi setiap 0.99 hektar tanah para peserta Felcra bakal mendapat dividen RM3,000 dan bayaran akan dimulakan esok.

Tambah Ismail Sabri, pihaknya sedia berbincang dengan mana-mana kerajaan negeri yang mempunyai tanah yang sesuai diusahakan untuk membuka peluang kepada lebih ramai belia menjadi peserta Felcra.

“Ia sebagai galakan untuk para belia menceburi bidang perladangan dan komoditi yang menjanjikan pulangan yang lumayan,” katanya. – Bernama