KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk merangka kerjasama dalam pembangunan analisis geospatial.
Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan pengenalan dan pemantauan pusat akses kewangan di Malaysia melalui teknologi geospatial dan pengimejan satelit. Ini seterusnya akan membolehkan institusi kewangan meningkatkan lagi perkhidmatan kewangan kepada orang ramai, kata BNM dalam kenyataan di sini.
Di samping itu, aplikasi disokong GPS akan disediakan bagi memudahkan orang ramai mengetahui pusat akses kewangan untuk keperluan kewangan mereka.
MoU yang ditandatangani oleh Timbalan Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour dan Azlikamil Napiah, Ketua Pengarah ARSM itu mencerminkan kerjasama antara agensi yang semakin padu dalam usaha Bank Pusat itu memajukan rangkuman kewangan menerusi teknologi dan inovasi. – MalaysiaGazette