KUALA LUMPUR –Kementerian Pendidikan perlu mengkaji semula kaedah penempatan guru di kawasan pedalaman terutama melibatkan sekolah Orang Asli.
Wakil Masyarakat Orang Asli, Senator Datuk Isa Ab. Hamid berkata, kebanyakan guru yang ditempatkan di sekolah itu adalah mereka yang mempunyai masalah dan dihantar ke pedalaman oleh kementerian sebagai ‘hukuman’ serta pengajaran.
“Sebenarnya kaedah menukar guru bermasalah ke sekolah pedalaman terutama sekolah Orang Asli tidak boleh diamalkan lagi. Dia (malah) merosakkan lagi guru berkenaan kerana berdepan dengan tekanan, selain berjauhan dengan isteri dan keluarga.
“Apabila guru berkenaan tertekan, yang menjadi mangsa ialah pelajar Orang Asli. Ini yang berlaku kepada lima pelajar Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang yang ditemui mati lemas tahun lalu.
“Mereka tidak masuk kelas kerana takut dimarahi guru. Hasil siasatan ke atas guru itu, kita dapati dia stress (tertekan),” katanya pada sesi perbahasan Bajet 2018 di Dewan Rakyat di sini, semalam.
Kata Isa, kaedah terbaik ialah kementerian perlu menambah lebih ramai guru pelatih Orang Asli di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Setakat ini, tambah beliau, IPGM hanya melatih 20 hingga 25 Orang Asli setahun, sedangkan ada 93 sekolah yang 100 peratus adalah pelajar Orang Asli.
“Ini tidak adil dalam pendidikan. Berani saya katakan begini sebab bagaimana kita hendak melihat guru yang ada jiwa Orang Asli, guru yang ada kefahaman budaya Orang Asli dan kekitaan Orang Asli itu perlu ditempatkan dalam sekolah-sekolah Orang Asli.
“Ini yang saya minta Kementerian Pendidikan menjelaskan perkara ini,” katanya yang turut menambah peruntukan RM2.50 sehari untuk sarapan dan makan tengah hari kepada pelajar sekolah pedalaman tidak sesuai dan relevan dengan kos hari ini.
Kata Isa, dengan kos sebanyak itu sudah tentu pengusaha kantin atau katering tidak mampu menyediakan makanan yang mengenyangkan untuk anak Orang Asli.
“Saya minta Kementerian Kewangan dan juga Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) perlu turun padang melihat perkara begini supaya kita dapat atasi masalah yang terlepas pandang,” katanya. – MalaysiaGazette
















