
KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 3.4 peratus pada bulan Oktober 2017 berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Peningkatan dalam bulan Oktober ini dipacu oleh pertumbuhan positif dalam semua indeks iaitu pembuatan (4.2%), perlombongan (0.8%) dan elektrik (4.6%), menurut Jabatan Perangkaan.
Output sektor Pembuatan mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 4.2 peratus pada bulan Oktober 2017 selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus pada September 2017.
Sub-sektor utama yang meningkat pada bulan Oktober 2017 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (5.9%), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (2.1%) dan produk makanan, minuman dan tembakau (7.0%).
Output sektor perlombongan meningkat sebanyak 0.8 peratus pada bulan Oktober 2017 (September 2017 : 2.1%).
Pertumbuhan ini dipacu oleh peningkatan dalam indeks Gas Asli sebanyak 1.4 peratus dan indeks Minyak Mentah sebanyak 0.3 peratus.
Output sektor Elektrik mencatatkan peningkatan sebanyak 4.6 peratus pada bulan Oktober 2017 berasaskan tahun ke tahun. – MalaysiaGazette














