Syed Rosli Jamalullai

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Jamalullail membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Nik Mohd. Azli hari ini.

Ia ekoran satu video yang dibuatnya tular sebelum ini yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri terlibat dalam isu penahanan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bagan Datoh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap penyelewengan dana sebanyak RM40 juta baru-baru ini.

“Permohonan maaf ini dibuat berdasarkan video yang saya buat ke atas pada bulan 9 yang lalu berkenaan isu penahanan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datoh, Dr. Nik Mohd. Azli oleh SPRM.

“Dalam video tersebut juga saya telah mengaitkan TPM bahawa TPM sepatutnya yang saya sebut dalam video itu bahawa beliau perlu tahu apa yang berlaku di bahagian beliau (Bagan Datoh),” katanya memetik video yang dimuat naik di laman Youtube milik blogger, Minaq Jinggo.

Permohonan maaf tui juga menurut beliau setelah mendapat penjelasan daripada Nik Azli pada pertemuan di ketika Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini  baru-baru ini.

“Ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, saya pergi berjumpa dengan Nik untuk meminta penjelasan apa sebenarnya yang berlaku. Alhamdulillah beliau telah menjelaskan kepada saya bahawa penahanan tersebut adalah untuk membantu siasatan SPRM.

“Menurutnya, beliau telah menyerahkan beberapa bukti kepada SPRM bahawa beliau tidak terlibat dalam skandal penyelewengan dana sebanyak RM40 juta. Jadi tiada isu penyelewengan berkenaan isu tersebut,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Syed Rosli menggesa agar pihak berkuasa menyiasat berkenaan penyebaran kepada umum waran tangkap yang dikeluarkan oleh SPRM.

Penyebaran tersebut, menurutnya, mungkin ada tujuan jahat untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik Nik Azli.

“Berkemungkinan, saya merasakan ini merupakan satu kerja sabotaj berkenaan waran tangkap daripada SPRM ini, kerana sebelum ini tidak ada lagi waran tangkap yang boleh ditularkan di laman-laman media sosial. Ini pasti ada niat jahat.”-MalaysiaGazette