Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sedang berusaha mengeluarkan mangsa dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan treler di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan pagi ini. Tiga maut dalam kejadian itu. --fotoBERNAMA
PARIT – Seorang pegawai khas kepada Exco Perak, isteri serta adiknya maut apabila kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan berhampiran Kampung Teluk Memali, Bota di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin, 35, pegawai khas kepada Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, isterinya Norhaslina Abdul Razak, 27, dan adik Ahmad Nor Al-Zaidin, Nor Azira, 24, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga dipandu Ahmad Nor Al-Zaidin dari Kampung Gajah ke Teluk Intan bertembung dengan lori terbabit semasa tiba di lokasi nahas.

“Kemalangan menyebabkan kedua-dua kenderaan terhumban ke dalam tali air…pemandu lori dan kelindannya yang berumur 25 dan 27 tahun selamat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

— BERNAMA