KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyifatkan penetapan harga runcit petrol dan diesel secara mingguan adalah mekanisme yang memberikan kesan segera dan adil kepada pengguna serta industri.
Timbalan Menterinya, Datuk Henry Sum Agong berkata, mekanisme itu selaras dengan perubahan harga pasaran minyak dunia, sekali gus membolehkan trend harga jualan lebih stabil berbanding penetapan secara bulanan sebelum ini.
“Penetapan harga secara mingguan melibatkan perubahan harga yang lebih pendek iaitu tujuh hari dan harga runcit ditetapkan pula lebih hampir kepada kos produk petroleum berkenaan.
“Sejak pelaksanaan harga runcit petrol dan diesel secara mingguan, kenaikan harga jualan runcit petrol RON95 berlaku sebanyak 20 kali dengan nilai keseluruhan kenaikan sebanyak 82 sen.
“Bagi penurunan harga pula berlaku sebanyak 15 kali dengan nilai keseluruhan penurunan sebanyak 87 sen. Ini bermakna harga jualan runcit petrol RON95 lebih rendah sebanyak 5 sen sejak pelaksanaan penetapan harga mingguan,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Dewan Negara di sini, semalam.
Mengenai soalan tambahan, adakah kerajaan bercadang akan mengkaji semula pemberian subsidi petrol dan diesel secara pukal, Henry menjelaskan, cadangan itu perlu diteliti implikasinya agar bantuan diberikan kerajaan ini benar-benar membantu mereka yang memerlukan.
Kata beliau, penduduk negara ini menggunakan hampir dua bilion liter petrol dan diesel sebulan dan sekiranya subsidi 50 sen diberikan bagi setiap liter, kerajaan akan menanggung belanja sebanyak RM1 bilion setiap bulan atau RM12 bilion setahun.
Bagaimanapun, menurut Henry, penggunaan petrol dan diesel bagi setiap orang adalah berbeza.
“Sebagai contoh, mereka yang berkemampuan menggunakan kereta besar sekali isi petrol mungkin mencecah 30 liter dengan subsidi RM15, manakala rakyat di kampung dan luar bandar yang menggunakan motor mungkin hanya menggunakan 30 liter untuk sebulan.
“Ini menunjukkan subsidi secara pukal ini tidak adil dan hanya menguntungkan mereka yang berkemampuan.
“Oleh demikian, kaedah pemberian subsidi atau bantuan bersasar seperti BR1M perlu diperkenalkan untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar memerlukan diberikan bantuan,” katanya. – MalaysiaGazette
















