Awang Adek Hussin. foto FAREEZ FADZIL, 11 DISEMBER 2017

BACHOK – Bidang pelancongan dan seni kebudayaan yang diwarisi rakyat Kelantan sejak turun-temurun antara yang akan dimasukkan Barisan Nasional (BN) Kelantan dalam manifesto parti itu untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi jawatankuasa yang merangka manifesto itu, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, dokumen itu hampir siap dirangka dan mempunyai elemen-elemen yang seimbang dan memenuhi keperluan dunia dan akhirat.

Kelantan, katanya, berpotensi menjadi produk pelancongan baharu negara kerana antaranya mempunyai banyak pantai yang menarik terutama di Bachok dan Pasir Puteh.

“Selain itu, bidang kesenian seperti mak yong, dikir barat dan permainan gasing juga menarik untuk diketengahkan memandangkan ia tidak terdapat di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Back 2 School anjuran Tenaga Nasional (TNB) Kelantan yang turut dihadiri Pengurus Besar TNB Kelantan Datuk Md Yuslan Md Yusoff di perkarangan Pejabat TNB Bachok, di sini hari ini.

Sejumlahi 200 murid daripada keluarga kurang berkemampuan daripada kalangan anak nelayan, buruh dan petani mendapat bantuan pakaian sekolah, kasut dan beg yang keseluruhannya bernilai RM40,000.

Mengulas lanjut, Awang Adek berkata, antara perkara lain yang akan dimuatkan dalam manifesto berkenaan merangkumi sistem perhubungan seperti jalan yang lebih baik dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan termasuk bagi wanita.

Dalam pada itu, Md Yuslan berkata TNB memperuntukkan RM160,000 untuk memberi bantuan pakaian seragam sekolah kepada 800 murid miskin membabitkan empat jajahan di Kelantan iaitu Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Machang.

Beliau berkata, bantuan itu akan diberi secara berperingkat sebelum sesi persekolahan bermula bulan depan untuk meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah terutama yang mempunyai anak yang ramai. – Bernama