Mangsa yang dipercayai hilang selepas terjatuh ketika menangkap ikan di perairan Pulau Kukup, Pontian, Johor.

PONTIAN – Seorang nelayan dipercayai hilang selepas terjatuh ketika menangkap ikan di perairan Pulau Kukup di sini pada petang semalam.

Semasa kejadian, mangsa dikenali sebagai Putra Aminurrashid berusia 21 tahun bersama dua lagi rakannya sedang menangkap ikan sebelum lelaki itu terjatuh, dipercayai disebabkan hilang keseimbangan akibat gelombang laut.

Timbalan Pengarah (Operasi), Maritim Johor Bahru, Komander Maritim, Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.45 petang.

Menurutnya, sejurus menerima laporan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Daerah Maritim Johor Bahru mengerakkan KM Nipah ke lokasi bagi mencari mangsa yang hilang.

“Pada petang semalam, kawasan pencarian tertumpu di kawasan mangsa hilang iaitu lebih kurang 0.2 batu nautika selatan Pulau Kukup dan pada pagi ini operasi mencari mangsa diteruskan oleh semua agensi penyelamat yang terlibat.

“Dan jika mangsa masih gagal ditemui, kawasan pencarian akan diperluas sehingga 12 batu nautika. Operasi ini dikoordinasikan Maritim Malaysia melalui MRSC Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat ini turut disertai oleh Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta dibantu nelayan tempatan.

Beliau sekali lagi mengingatkan komuniti maritim agar memaklumkan pihaknya dengan segera sekiranya berlaku sebarang kemalangan di laut supaya bantuan kecemasan segera dapat digerakkan.

“Dalam pada itu, orang ramai disaran menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Daerah Maritim Johor Bahru di talian 07-2199496 / 010-3211066 untuk sebarang aduan kesalahan atau jenayah di laut,” katanya. – MalaysiaGazette