Seorang pekerja meletakkan bekas pelita tanah liat di bawah cahaya matahari untuk proses pengeringan sempena sambutan perayaan Deepavali semasa tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Kilang Perusahaan Krishnan Pottery, Kuala Selangor, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 OKTOBER 2017

KUCHING – Sistem Insurans Pekerjaaan (SIP) dijangka dilaksanakan Januari ini sebaik diluluskan Dewan Negara dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.

Beliau berkata, Rang Undang-undang SIP akan dibentang di Dewan Negara pada Isnin ini.

Walaupun SIP ditentang oleh kebanyakan majikan, skim tersebut perlu untuk memastikan jaringan keselamatan sosial pekerja yang diberhentikan terus terjamin, katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Krismas bersama Penerima Faedah Perkeso 2017, di sini hari ini.

Penguatkuasaan SIP akan memastikan pekerja sektor swasta yang diberhentikan menerima bantuan kewangan sementara sehingga enam bulan.

Riot berkata SIP menuntut caruman 0.2 peratus daripada gaji pekerja serta 0.2 peratus lagi daripada majikan dengan pembayaran faedah kepada yang layak dijangka dilaksanakan mulai Januari 2019.

Bagaimanapun, katanya pekerja yang kehilangan pekerjaaan pada 2018 layak untuk menerima faedah interim dalam bentuk elaun tunai bagi tempoh maksimum tiga bulan.

“Faedah interim ini dibiayai oleh kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM122 juta yang disalurkan kepada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial),” kata Riot.

Katanya rekod Jabatan Buruh menunjukkan hampir 18,000 pekerja Malaysia diberhentikan tahun ini setakat ini.

Riot berkata SIP yang digunakan di Malaysia adalah berdasarkan skim insurans yang dilaksanakan di Korea Selatan.

Sementara itu, Riot berkata bagi tempoh berakhir September 2017, Perkeso Sarawak telah membelanjakan RM19.51 juta untuk membayar pelbagai jenis faedah melibatkan 2,555 kes.

Bilangan majikan yang aktif mencarum di Sarawak pula ialah 37,007 setakat September lalu berbanding 36,680 majikan pada 2016, manakala bilangan pekerja aktif yang dilindungi bagi tempoh sama ialah 453,102 orang berbanding 470,694 orang pada 2016, katanya.

“Caruman yang dikutip bagi negeri Sarawak bagi tahun ini sehingga 30 November ialah sebanyak RM6.5 juta,” katanya.

Pada majlis hari ini Riot menyerahkan cek kepada enam penerima yang layak dengan keseluruhan bayaran faedah tunai berjumlah RM110,146.07 termasuk pembekalan peralatan pemulihan kepada empat penerima faedah Perkeso. – Bernama