Mayat Putera Aminurrasshid Zaidi yang ditemui lemas di perairan Kukup di Pontian, Johor.

PONTIAN – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ketika menangkap ikan di perairan Pulau Kukup di sini kelmarin, ditemui lemas kira-kira 50 meter daripada lokasi mangsa terjatuh hari ini.

Mangsa, Putera Aminurrashid Zaidi, 21, yang keluar bersama adik dan abang iparnya pada 5.30 petang hari kejadian dijumpai dengan lengkap berpakaian pada 2 petang ini.

Mayat mangsa ditemui nelayan yang turut membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan pada 8.30 pagi ini.

Timbalan Pengarah (Operasi), Maritim Johor Bahru, Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, identiti mangsa disahkan oleh ahli keluarga lelaki terbabit menerusi pengecaman mayat.

“Mayat mangsa diambil oleh Bomba dan Penyelamat dan dibawa ke Jeti Feri Kukup untuk diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selain Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, operasi SAR mangsa yang dimulakan sejak petang Jumaat lalu turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diaja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian Suprintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, nelayan tempatan turut menyumbang tenaga berganding bahu bersama pasukan mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan tamat pada 2.30 petang dan mayat lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Pontian untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette.